Extract from BHarian
PERNAHKAH terfikir bagaimana bank menilai keupayaan kredit kita sebagai pelanggan walaupun tiada butiran didedahkan atau pernahkah terfikir sejauh mana maklumat yang dimiliki bank mengenai corak kredit kita?
Jawapannya ada pada sebuah sistem pangkalan data yang dikenali sebagai ‘Central Credit Reference Information System (CCRIS)’ yang berfungsi sebagai tempat rujukan bagi bank.
Sehubungan itu, Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) menghuraikan dengan terperinci peranan CCRIS yang membolehkan kita tahu mengenai Biro Kredit, sebuah badan yang bertanggungjawab mengumpul segala maklumat kredit kita.
Diuruskan oleh Bank Negara Malaysia , Biro Kredit dibentuk mengikut Akta Bank Negara Malaysia 1958 dan beroperasi sejak 1982.
Sejak itu, ia sudah mengumpul maklumat hampir lima juta peminjam di Malaysia, yang diperoleh daripada lebih 50 institusi kewangan di Malaysia merangkumi bank perdagangan, bank Islam, syarikat kewangan, bank saudagar dan beberapa institusi kewangan lain. Maklumat yang dikumpul disimpan dalam CCRIS.
Selain memainkan peranan penting sebagai tempat rujukan bagi institusi kewangan untuk membolehkan mereka memberi keputusan cepat dan maklumat terkini mengenai setiap peminjam, Biro Kredit juga sebenarnya adalah sebahagian strategi Bank Negara untuk menyemai amalan baik dalam pengurusan risiko kredit di kalangan institusi kewangan.
Apabila kita ingin meminjam wang dari institusi kewangan atau memegang kad kredit, maklumat kita akan dikemukakan kepada CCRIS. Antara maklumat itu ialah butiran peribadi seperti nama, kad pengenalan diri dan alamat serta butiran akaun kredit seperti jenis kemudahan kredit, had kredit, baki belum dijelaskan, tingkah laku akaun dan status untuk tindakan undang-undang, jika ada.
Popularity: 5% [?]

